Mak,,,malam tadi mak datang lagi dalam mimpi Nor…
bila dinihari ianya mengundang rasa sebak yang tidak terluah dengan kata.Tersedu
bersama iringan airmata yang berjujuran bila terkenang segala detik dan
peristiwa lalu sewaktu hayatmu.Kini Hampir empat tahun mak pergi bertemu pencipta.Andai mak tahu,saban hari Nor menghitung waktu yang berlalu. Nor berjuang dalam hidup ini bersama kenangan lepas. Nor bukanlah meratapi pemergian mak,cuma hati Nor ingin menyatakan bahawa rindu yang tidak pernah berlabuh terhadap mak.Rindu semuanya tentang mak.Tak seminit pun masa yang dilewati terlepas dengan bayangan mak. Siapapun tak nak dengar apa yang Nor katakan. Makin lama makin dilupakan. Kalau ada pun mereka suruh Nor banyak berdoa…berdoa dan berdoa…Mereka tak tahu bertapa rindunya diri ini pada mak.
Entahlah mak…Setiap hari Nor tanya bila Nor nak
berehat macam mak. Lama kelamaan hati sakit hidup atas dunia ini. Perjalanan cinta
dikhianati. Hati tercalar dan sakit. Musnah impian Nor yang pernah jadi harapan
mak waktu hidup dulu. Sedari dahulu lagi Nor tahu bahawa dunia kita tidak lagi
sama kan…. Mak bagaikan bintang di langit hitam yang senantiasa memerhati Nor
walaupun Nor tak dapat melihat mak…Jauhnya mak berada tetapi hati Nor tetap
kata mak sentiasa ada dengan Nor kerana mak abadi dalam hati Nor selagi masih berkesempatan untuk
bernafas. Tak banyak gambar mak yang sempat Nor rakamkan kerana Nor tak pernah
sangka pemergian mak terlalu cepat. Macam mimpi. Tak terlintas pun dalam
fikiran Nor, mak akan pergi tinggalkan Nor dalam keadaan Nor tak lagi bersedia. Hidup ini terlalu banyak kejutan…
Terima kasih mak kerana lahirkan Nor. Tak siapa pun
boleh gantikan tempat mak. Sehebat mak. Tak siapa pun diantara mereka yang
kasihnya seteguh mak.Kerana Nor pernah menjalani secebis kehidupan dalam Rahim mak yang
suci itu. Terima kasih kerana ajar Nor untuk hidup seorang diri. Terima kasih
kerana pernah jadi pendengar setiap masalah yang Nor hadapi. Kini bila mak tiada
segala masalah tersimpan dalam sanubari hingga tenat rasanya hati ini. Terima kasih
mak atas segala coretan dan lakaran kenangan bersama Nor biarpun kesempatan itu
terlalu sedikit, ianya tak ternilai harganya kerana dengan mengingati saat yang
berlalu buatkan Nor kuat jalani hari –hari yang diamanahkan.Mak,kita akan bertemu entah esok atau lusa,entahkan minggu depan atau tahun depan. Segalanya ditentukan olehNYA yang maha berkuasa dan masih menjadi rahsia Allah. Tetapi Apa yang Nor ingin katakan sejujurnya dari hati yang tenat ini, mak abadi dalam hati Nor bersama rindu yang tidak berpenghujung…… Semoga roh mak dicucuri rahmat dari illahi- Aamin
Al-Fatihah Buat :
Almarhum Bonda Siti Abdul Kudus (1957-2012)
Almarhum Ayahanda Madom Husin (1950-2002)